Friday, October 22, 2010

AKTIVITTI PEMUPUKAN PERPADUAN!

PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA


Pelatih-pelatih lepasan SPM ini akan menjalani latihan  selama 3 bulan merangkumi modul fizikal dan kenegaraan.Betapa besarnya harapan NEGARA terhadap remaja masa kini dan hasrat untuk melahirkan REMAJA berdisiplin serta memupuk perpaduan demi masa depan NEGARA.Program yang bermula dari tahun 2004 ini amat berkesan terhadap  remaja,ini boleh dilihat dari aspek peningkatan pelatih yang sudah menjalani latihan mahu pun yang sedang menjalani latihan.Respon dari ibubapa serta para pelatih amat bersetuju dengan program ini menunjukkan betapa berkesan dan perlunya program ini diteruskan demi memupuk remaja berdisiplin.Saya salah seorang jurulatih PLKN juga ada membuat sedikit kajian tentang respon ibubapa yang datang melawat anak mereka yang sedang menjalani latihan,dan 95% peratus keputusan dari hasil soal selidik respon ibubapa amat bersetuju dengan adanya program latihan khidmat negara ini  dan harus diteruskan demi mencapai wawasan negara.

UNSUR PERPADUAN DALAM SUBJEK SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN

Pendidikan civic dan kewarganegaraan telah diperkenalkan sebagai suatu mata pelajaran pada tahun 2005. Secara nyata ia memberi tumpuan utama pada isu perpaduan, patriotisme, dan pemahaman keberbagaian budaya masyarakat Malaysia. Cara mewujudkan perpaduan adalah antara objektif-objektif utama yang ditekankan. Objektif-objektif itu adalah pemahaman berbagai agama, tradisi, dan budaya masyarakat Malaysia untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu.
Pada setiap tingkat, kurikulum dibagi dalam bertema. Di tingkat sekolah rendah, tema-tema yang dipakai adalah:
  1. Sayangi Diri.
  2. Sayangi Keluarga.
  3. Hidup Bersama di Sekolah dan Masyarakat.
  4. Kenali Budaya Malaysia.
  5. Malaysiaku Negaraku.
  6. Sedia Hadapi Cabaran.

Secara menyeluruh setiap tema memang mempunyai kaitan dengan yang lain. Namun begitu, tema berkaitan hubungan etnik yang paling nyata ialah Kenali Budaya Malaysia dan Malaysiaku Negaraku. Dalam tema “Kenali Budaya Malaysia”, penekanannya adalah kepada mengenali dan mengapresiasi kekayaan budaya Malaysia dan tanggung jawab mengekalkan keberbagaian kebudayaan warisan budaya itu. Sedangkan dalam tema “Malaysiaku Negaraku”, aspek-aspek yang diketengahkan berkaitan dengan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan dan tanggung jawab mengekalkan kemerdekaan.
Berbeda dengan sekolah menengah, tema yang dipakai adalah:
  1. Pencapaian Kendiri.
  2. Hubungan Kekeluargaan.
  3. Hidup Bermasyarakat.
  4. Warisan Keberbagaian Budaya Malaysia.
  5. Malaysia Negara Berdaulat.
  6. Cabaran Masa Depan.

Dari keseluruhannya, analisis terhadap kandungan kurikulum setiap peringkat menyimpulkan bahwa setiap aspek perpaduan sangat di utamakan. Kurikulum juga tidak menunjukkan unsur bias atau memihak kepada setiap etnik. Budaya setiap etnik perlu diterima sebagai budaya Malaysia. Oleh karena itu, dirumuskan bahwa kurikulum pendidikan civic dan kewarganegaraan membayangkan konsep bangsa Malaysia yang diharapkan wujud pada masa depan yang akan datang. Dalam konsep ini tidak ada budaya etnik yang akan dipinggirkan malahan semuanya perlu ditonjolkan. Melalui pendidikan civic dan kewarganegaraan kemungkinan suatu hari nanti rakyat Malaysia akan lebih liberal atau bersifat terbuka, termasuk dalam hal-hal berkaitan dengan agama.

SEKOLAH WAWASAN

Seorang tokoh pendidikan, Prof Datuk Dr Kamaruddin berpendapat sistem pendidikan menggunakan satu bahasa pengantar paling berkesan bagi mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Matlamat ini boleh dicapai dengan berkesan dan lebih cepat jika pendidikan di negara ini menggunakan satu sistem berbanding pelbagai aliran ketika ini.

Isu pengasingan pelajar mengikut kaum telah dibangkitkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan sekiranya ia benar-benar berlaku, ini boleh memberi kesan negatif yang boleh menghalang matlamat perpaduan dan integrasi nasional.

Sekolah pelbagai aliran di peringkat sekolah rendah pada ketika ini wujud hasil toleransi pelbagai kaum sewaktu hendak mencapai kemerdekaan. Wujudnya satu sistem pendidikan yang menggunakan satu bahasa pengantar , secara tidak langsung akan mewujudkan satu sistem nilai dan budaya sosial.

Konsep perpaduan dalam konteks negara ini perlu difahami sebagai satu prinsip Rukun Negara yang mana mestilah berupaya menangkis semua gejala yang boleh memecahbelahkan rakyat seperti semangat perkauman yang tebal dan perasaan kedaerahan yang melampau.

Melalui sekolah satu aliran, (SEKOLAH WAWASAN) murid kaum lain masih berhak mempelajari bahasa ibunda masing-masing di samping membolehkan mereka memupuk dan mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional menerusi pendidikan. 



PROGRAM RAKAN MUDA 

Program in telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia pada 29 Oktober 1994 dengan misi terasnya untuk melahirkan potensi tertinggi generasi muda supaya berupaya mendukung matlamat pembangunan negara.
Cabaran pencapaian misi ini ialah membentuk generasi muda yang lengkap dengan gugusan nilai-nilai murni, berfikiran positif, menguasai ilmu dan kemahiran bagi menempuh kemajuan peradaban yang akan datang. Progam Rakan Muda yang dizahirkan melalui "Sembilan Gaya Hidup" mengadunkan elemen-elemen Pembangunan Minda, Pembangunan Kemahiran, Pembangunan Rohani, Pembangunan Kemasyarakatan dan Kecergasan Fizikal.

KERATAN AKBAR AKTIVITI 1 MALAYSIA

Utusan Malaysia, 2 September 2009
                                                                                                                                                           PERPADUAN INTIPATI KEMERDEKAAN NEGARA

SAMBUTAN ulang tahun kemerdekaan ke-52 berlangsung dalam suasana ringkas dan sederhana. Majlis-majlis di ambang kemerdekaan pula diserikan dengan acara berbentuk keagamaan. 

Semestinya kejayaan menempuh pelbagai cabaran sepanjang 52 tahun menikmati kemerdekaan tidak dicapai dengan begitu mudah.

Banyak pengorbanan dilakukan. Banyak hati dan perasaan yang terpaksa dilukakan lantaran memelihara kemerdekaan di sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama bukan tugas yang mudah.

Meskipun garis panduan tata cara kehidupan rakyat Malaysia telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan, namun banyak kerja tambahan yang perlu dilakukan untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar.

Ini kerana tempoh 52 tahun kemerdekaan tanah air belum mampu membentuk rakyat yang benar-benar berpadu, saling percaya mempercayai dan menghormati persetujuan yang telah dicapai ketika negara mencapai kemerdekaan.

Lebih-lebih lagi jika disorot perkembangan mutakhir ini. Banyak yang menduga kebijaksanaan serta kesabaran - jika hilang pertimbangan akan tercetus rasa tidak puas hati sehingga mengakibatkan satu lagi tragedi yang boleh mencacatkan status kemerdekaan negara.

Sebab itu dalam keadaan rakyat Malaysia mengorak langkah meniti tahun ke-53 kemerdekaan tanah air, banyak peristiwa silam yang mesti ditoleh.

Banyak pengajaran yang mesti dipelajari supaya langkah seterusnya tidak sumbang dan hasrat membentuk gagasan 1Malaysia dapat dicapai.

Hakikatnya perjuangan untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajah menuntut pengorbanan. Dan pengorbanan itu tidak terhenti setakat itu. Banyak lagi pengorbanan yang dituntut untuk memastikan kemerdekaan tanah air terus menjadi milik rakyat. 

Pengorbanan paling ketara adalah mengikis sikap prejudis dan saling mengesyaki sesama kaum di negara ini sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni. Malah hari pertama selepas 52 tahun merdeka negara masih diselubungi isu-isu berbau perkauman dan menyentuh sensitiviti agama dengan parti-parti yang menjadi komponen kerajaan negara ini tidak lekang daripada 'pergolakan' dalaman.

Sebab itu tuntutan utama untuk meneruskan kesinambungan tanah air yang merdeka tidak boleh dipandang ringan. Sejarah yang pernah menyaksikan tragedi 13 Mei 1969 pada bila-bila masa boleh saja memutarkan semula kejadian itu dan tidak mustahil kesannya lebih dahsyat.

Tuntutan mengisi kemerdekaan menjadi lebih sulit selepas tempoh 50 tahun merdeka lantaran anasir-anasir yang ingin menghancurkan negara bergerak secara senyap.

Mereka berperanan umpama gunting dalam lipatan mencari titik paling rapuh dalam masyarakat pelbagai kaum dan menggunakan bahagian tersebut untuk mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan rakyat.

Tentunya agenda tersebut terus digerakkan malah secara lebih aktif lagi lantaran usaha-usaha yang dilakukan sebelum ini masih belum berjaya sepenuhnya.

Akan ada cubaan demi cubaan untuk membangkitkan isu-isu perkauman - dengan harapan kemerdekaan negara yang bernama Malaysia ini akan bertukar tuannya. 

Tidak mustahil harapan itu menjadi kenyataan kerana usaha yang dilakukan secara berdikit-dikit itu sedikit sebanyak telah berjaya merungkai ikatan perpaduan yang terjalin sejak sekian lama.

Utusan Malaysia, 2 September 2009

CABARAN HAPUSKAN ISU PERKAUMAN

SANGAT menyedihkan selepas 52 tahun kemerdekaan negara, kita masih lagi perlu diingatkan untuk meruntuhkan tembok perkauman. Dalam usia separuh abad terbinanya negara Malaysia hasil kesepakatan dan toleransi pemimpin pelbagai kaum terdahulu, semangat itu seharusnya sudah menjadi intipati dan sebati di dalam jiwa segenap lapisan masyarakat. 

Malangnya, kita hari ini lebih mengenali diri dan jati diri berdasarkan siapa kita mengikut latar belakang kaum, ras, etnik atau asal-usul. Melayu, Cina dan India akan selamanya dipisahkan sebagai kaum yang berbeza dan bukannya satu bangsa Malaysia. Barangkali disebabkan jurang itu juga, banyak tuntutan dan polemik yang melangkaui sempadan agama dan kaum berlaku dalam masyarakat hari ini. 

Jika inilah yang menjadi amalan, maka percayalah soal perpaduan akan terus menghambat negara waima selepas berabad negara mengecapi kemerdekaan sekalipun. 

Bukan rahsia lagi cabaran kepada perpaduan itu bermula pada era penjajahan British yang memisahkan masyarakat Tanah Melayu menerusi dasar pecah dan perintah. 

Dasar ini telah menyebabkan kita berpecah-belah mengikut pola kependudukan dan penempatan, jenis pekerjaan dan sistem pendidikan mengikut garis kaum. Namun itu bukanlah alasan untuk kita terus-menerus meletakkan kesalahan tersebut kepada penjajah. Ini kerana kesilapan itu boleh diperbaiki apatah lagi negara sudah lama mengecapi nikmat kemerdekaan. 

Yang penting ialah sejauh mana dalam persekitaran hari ini, wujud sifat toleransi, hormat dan faham beralaskan kejujuran. Bagaimana elemen ini diterima berdasarkan kepada kekuatan Perlembagaan? 

Adakah setiap individu bersedia untuk membelakangkan amalan budaya dan kepercayaan dan memberi keutamaan kepada nilai kemanusiaan? 

Ini memandangkan nilai-nilai itu merupakan asas penting untuk meruntuhkan dinding yang memecah-belahkan masyarakat. Perkara ini turut ditekankan oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian. 

Lebih jauh, beliau melemparkan pertanyaan sejauh mana setiap daripada kita meletakkan diri dalam sebuah keluarga besar yang ada nilai 'pengorbanan' serta 'kompromi' yang ditinggalkan oleh warisan lepas? 

Namun, tambah beliau, timbul dilema siapa yang harus berkorban dan siapa pula harus berkompromi. Kemuafakatan dan keharmonian memberi penghormatan kepada nilai kemanusiaan yang tidak melihat siapakah yang memberi lebih, dan siapa pula yang kurang memberi dan lebih merasa. 

"Jika wujud perasaan seperti itu, maka ia boleh berakhir dengan perasaan prasangka antara satu sama lain. Stereotaip akan menebal dan sifat etnosentrik akan mendominasi pemikiran seseorang individu," ujar beliau. 

Sejajar dengan proses pemodenan dan pembangunan juga, masyarakat hari ini seolah-olah semakin luntur nilai 'kemasyarakatan'. Yang muncul adalah sifat materialistik dan individualistik yang menyaksikan semakin luntur dan pupusnya sifat kejujuran kerana persaingan ini. 

Ada yang berebut kekayaan untuk diri sendiri dan lupa ada masyarakat sekeliling. Ada yang menyoal 'hak' dan 'tanggungjawab' serta 'Perlembagaan' yang hanya dirujuk mengikut keselesaan masing-masing. 

Ini menyebabkan lahir ikatan longgar bukan sahaja dalam sesuatu kumpulan etnik tetapi juga hubungan antara etnik. Kerana itu juga tambah Sivamurugan, seiring dengan proses modenisasi, kita semua harus mempunyai rasa bertanggungjawab. 

Keluarga harus menanam nilai ini di rumah supaya anak mereka menjadi 'idola' di mana sahaja kerana perpaduan sebenar bermula dari rumah. Ia mencerminkan kesungguhan kita bersama dalam apa sahaja keadaan. 

"Kesemua etnik ada sifat etnosentrik untuk menanam semangat kekitaan tetapi lebih daripada itu, jika mereka memiliki perwatakan boleh hormat, faham dan bertolak ansur dengan kumpulan etnik lain, maka perpaduan akan subur dengan sendirinya," tambah beliau.

Dalam masa yang sama, pemimpin juga perlu tampil sebagai individu contoh yang boleh diteladani oleh setiap lapisan masyarakat. Dalam suasana politik yang tidak menentu ketika ini, pemimpin sewajarnya memiliki nilai 'kepimpinan' yang tinggi. Paling utama, ia perlu berasaskan kepada toleransi dan semangat kerjasama yang tinggi seperti yang ditunjukkan oleh pejuang kemerdekaan lampau. 

Seperti yang dijelaskan oleh Sivamurugan, politik etnik telah mendominasi sejarah politik tanah air sejak sekian lamanya. Walaupun ramai menyatakan bahawa selepas 8 Mac 2008, pola pengundian menunjukkan bahawa kita sudah melangkaui garis keetnikan, namun sedar atau tidak, hakikatnya kita mempunyai kesedaran yang lebih tinggi ke atas persoalan keetnikan selepas 8 Mac 2008. 

"Demokrasi negara akan matang dengan sendirinya jika watak yang terlibat juga matang," tegasnya. 

Persoalannya, adakah watak utama dalam politik mengetahui bahawa kita masih terikat dengan sentimen emosi dan bukan rasional dalam hal-hal tertentu walaupun ada ketikanya kita mahukan kebebasan Barat dipraktis di negara ini.

Ada kekangan tertentu yang memberi limitasi ke atas kebebasan dalam sebuah negara yang terdiri dari masyarakat pelbagai etnik. Pemimpin harus berwaspada dalam memainkan sentimen perkauman kerana masyarakat hari ini lebih celik dari sudut ilmu, informasi dan pendekatan yang digunakan untuk mendapatkan maklumat. 

Pemimpin ada pengikut dan pengikut yang memberi kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin dan parti akan taksub dengan pemimpinnya sehingga bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk pemimpin tersebut. 

Kerana itu juga tambah Sivamurugan, pemimpin perlu lebih bertanggungjawab dan memastikan bahawa walaupun berbeza ideologi politik, itu tidak bermakna kemuafakatan harus dikorbankan untuk mencapai matlamat akhir mereka iaitu mendapatkan kedudukan dan pangkat. 

"Paling utama perpaduan tidak boleh dikompromi untuk apa sahaja walau untuk sesiapa sekalipun. Dalam menyoal hak dan tanggungjawab, kita mesti bertekad mempertahan apa yang sedang terbina sekian lamanya," ujar beliau.

Pandangan yang serupa turut dikongsi oleh pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad. 

Beliau turut melihat permainan politik di Malaysia tidak dapat lari daripada perjuangan berunsurkan kaum yang turut melebarkan jurang kemajmukan rakyat di negara ini. 

Justeru bagaimana perpaduan dalam erti kata sebenar boleh dicapai dan masalah integrasi kaum dapat diselesaikan jika parti berbaur perkauman itu masih dikekalkan? 

Kerana itu langkah terbaik ujar beliau ialah memansuhkan parti berasaskan perkauman dan mewujudkan satu parti tunggal dengan perjuangan 1Malaysia. Persoalannya mampukah ia dicapai secara aman? 

Sesuatu yang pasti ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai kerana jika tidak, parti Barisan Nasional yang tidak pernah gagal memerintah negara sudah melakukannya sejak negara merdeka 52 tahun lalu. Ini kerana masyarakat Malaysia sudah terpisah dengan jurang perbezaan kaum yang sangat nyata.

"Apa yang boleh dilakukan adalah melalui perjuangan ideologi bagi mengaburi perjuangan yang berorientasikan kaum seperti bangsa Malaysia, Wawasan 2020, Satu Malaysia," ujar Noor Sulastry. 

Namun, itu bukanlah halangan untuk kita merealisasikan ideologi perjuangan kaum menjadi kenyataan pada satu hari nanti. 

Atas semangat perpaduan dan persaudaraan yang tinggi untuk membina satu wajah bangsa Malaysia sebenar, perbezaan itu boleh menjadi persamaan yang mengikat kita menjadi lebih bersaudara.

Utusan Malaysia, 28 Ogos 2009

SEMANGAT REMAJA MENMYAMBUT KEMERDEKAAN 1 MALAYSIA 

SEBAGAI rakyat Malaysia, Isma Airfath Hassanudin, 39, akan menanti detik kehadiran 31 Ogos setiap tahun untuk diraikan dengan penuh berkobar-kobar.

Jati diri dan kebanggaan sebagai anak merdeka membuatkan Isma Airfath sentiasa mencari idea baru untuk mempamerkan semangatnya.

Sempena menyambut ulang tahun ke-52 Hari Kebangsaan tahun ini, anak jati Rantau Panjang, Kelantan ini sanggup menghabiskan sebanyak RM1,200 untuk mengecat van volkswagen lamanya dengan ikon-ikon kemerdekaan negara.

Dengan menggunakan teknik 'air brush' kereta antik yang diberi nama sebagai Combi ini menampilkan Jalur Gemilang dan wajah-wajah Perdana Menteri pertama hingga keenam.

Konsep 1Malaysia yang menjadi gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang turut tidak dilupakan sebagai tanda ikatan kukuh perpaduan kaum di negara ini.

Utusan Malaysia, 22 Ogos 2009


Meskipun generasi muda tidak merasai keperitan hidup akibat penjajahan, namun pengertian kemerdekaan negara begitu besar maknanya kepada mereka terutamanya pelajar sekolah.

Ini kerana perjuangan generasi terdahulu telah berjaya menuntut kemerdekaan sekali gus membolehkan generasi muda sekarang mengecapi kehidupan yang selesa dan aman.

Sehubungan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Jumaat, Lukut, Port Dickson melancarkan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah kelmarin sebagai menterjemahkan pengertian dan penghayatan 'Merdeka' di kalangan para pelajar supaya tidak melupakan jasa-jasa pejuang terdahulu.

Pengetuanya, Pn, Hajah Johara Binti Hajah Nawawi memberitahu, pelbagai program diadakan sepanjang bulan kemerdekaan itu yang bermula sejak 1 Ogos lalu seperti lagu patriotik berpidato, deklamasi sajak, puisi serta penulisan rencana dengan tema merdeka dalam menerap dan memupuk semangat kemerdekaan kepada para pelajar.

''Pada masa sama, kita juga mempunyai satu gagasan sebagai hala tuju pelajar di sini iaitu 1SMK Raja Jumaat, 'Pelajar Didahulukan, Pencapaian Akademik dan kokurikulum Sekolah Diutamakan'," katanya.

Berita Harian 4/9/2008

PERPADUAN BELUM TERHAKIS

SETIAP tahun menjelang 31 Ogos, Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan dan perkara ini diketahui umum termasuk kanak-kanak. 

Tahun ini, tema Hari Kebangsaan ialah Perpaduan Teras Kejayaan. Persoalannya kenapa tema itu dipilih? Adakah kerana sudah terhakis semangat perpaduan di kalangan rakyat atau ia semakin rapuh. Atau tema itu dipilih kerana wujud kecenderungan setiap kaum yang kini lebih mementingkan keperluan dan kehendak masing-masing serta menafikan hak orang lain sehingga mewujudkan suasana yang menggugat perpaduan di negara ini. 

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan, berkata semangat perpaduan di negara ini belum terhakis walaupun ada percubaan pihak tertentu yang mahu menggugat keamanan dan perpaduan dengan mengemukakan isu perkauman dan agama. Beliau bagaimanapun, mengakui sikap keterbukaan kerajaan sejak kebelakangan ini membuka ruang kepada semua kaum untuk mengemukakan permintaan masing-masing sehingga menggugat perpaduan yang sudah terjalin, selain kemajuan teknologi dengan kehadiran blog turut membebaskan sesiapa saja untuk meluahkan rasa tidak puas hati secara terbuka. 

"Perpaduan yang ada tidak terhakis, masih elok dan dipraktikkan rakyat di semua lapisan umur di kampung dan bandar seluruh negara. "Malah, selepas peristiwa konflik perkauman di Kampung Medan, tiada lagi insiden sedemikian berlaku di negara ini yang menunjukkan perpaduan berada dalam tahap yang memuaskan," katanya. 


Isnin,13/07/2009:- 


Baru-baru ini bertempat di Nur Lembah Pangsung, Hulu Langat Selangor telah berlangsung Kem Remaja SPIES Negeri Selangor yang melibatkan peserta remaja berumur 13 hingga 17 tahun. Mereka terdiri daripada pelbagai sekolah dari Dun Pandamaran Klang. Program yang dijalankan selama 2 hari 1 malam bermula pada 11/07/2009 hingga 12/07/2009 telah dianjurkan dibawah Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Insan, Negeri Selangor dengan kerjasama perunding Smart Excel Consultant. Program SPIES yang telah dirangka oleh kerajaan negeri Selangor ini adalah bermatlamatkan kearah pembangunan Spiritual, Physical, Intelektual, Emosional & Sosial golongan remaja. Pelbagai aktiviti dijalankan selama 2 hari ini bersama peserta SPIES. Antara modul latihan yang telah dijalankan oleh pihak perunding adalah taklimat SPIES, modul potensiku , strategi minda hebat dengan Neuro Linguistic Programming (NLP), aktiviti berakit, latihan dalam kumpulan bagi mencipta lagu SPIES, LDK graf kehidupanku, modul kreatif bersama kumpulan, tahsinul ibadah dan tidak dilupakan pencerdasan spiritual pada malam berikutnya dengan modul "Cemerlang Bersama 5 K". Modul latihan terhadap peserta non-muslim juga telah dijalankan berteraskan kepada nilai-nilai moral dan etika. Peserta non-muslim memberikan respon yang baik dalam perbincangan berkaitan kepelbagaian agama dan kepercayaan, nilai kekeluargaan dan tidak dilupakan bertukar-tukar bahasa antara pelbagai kaum. Rata-rata peserta memberikan cadangan agar program seperti ini dapat diteruskan kepada remaja kerana remaja adalah pewaris agama, bangsa dan negara. Tanpa remaja yang mempunyai kekuatan Spiritual, Physical, Intelektual, Emosional dan Social tidak mungkin sesebuah negara akan berada dilandasan yang cemerlang dimata dunia. Semoga impian negeri selangor untuk menjadi negeri contoh, aman dan berkebajikan melalui program pembangunan insan SPIES ini akan tercapai dengan cemerlang. Program SPIES Remaja Siri ke-2 ini tamat jam 03.00 petang.